Celoteh Pak Long



Mati-mati Mereka Pertahankan

Manusia ni ada satu perangai yang dinamakan degil, dengan kata yang lebih lembut sikit 'keras hati'. Yang peliknya kalau kesalahan atau kejahatan pun mati-mati mereka pertahankan walaupun sudah tahu benda tu tak elok, benda tu suatu kesalahan.

Ada jenis mereka ni yang 'lempar batu sorok tangan' mati-mati tidak mahu mengaku kesalahan. Orang yang macam ni susah nak mengeluarkan air mata bertaubat di hadapan Allah Taala melainkan kalau paksa air mata tu dengan picit bawang merah.

Haii..bukankah ahli tarikat yang masing-masing yang nak jadi wali tu diwajibkan bertaubat pada setiap permulaan dan penyudah sesuatu amal itu walau amal kebaikan sekali pun? Sementelah lagi lah kalau mereka jelas melakukan kesalahan atau kejahatan, bertambah-tambah lagilah istighfar tu sampai seribu kali atau lebih..

Kita biasalah kalau keras hati bertegang leher mempertahankan kewibawaan diri kita apabila kita mengiktiqadkan pendapat kita benar yang kita percaya ia benar walaupun pada pandangan orang lain ia salah. Orang jenis ini ada masalah pandangan rabun mata, yang putih dia nampak hitam, yang hitam dia nampak putih, yang baik dia nampak jahat dan yang jahat dia nampak baik.




“Hhhaahh!! puak tu tak betul pembawakannya”. Jadi dia sahaja yang betul. Orang lain tak betul seolah-olahnya. 'Kita sebagai manusia sering melakukan kesalahan'. Perkataan ni dah selalu kita dengar dari ustaz-ustaz. Kalau tak faham lagi tak tahu lah. Mungkin orang tu tak pernah melakukan kesalahan, suci, bersih, maksum macam malaikat.

Sebenarnya, kalau kita tuding jari kepada orang satu kesalahan, tiga jari lagi yang tunjuk kepada diri kita tiga kesalahan. Sebenarnya cerita 'tuding jari' ni berlaku kepada Saidina Omar sendiri.

Ketika itu beliau selalu melawat kawasan pada waktu malam seorang diri. Di sebuah rumah besar orang kaya, terdengar bunyi alat-alat tarian golek dan gelak ketawa lalu beliau terjah masuk melalui pintu belakang rumah itu. Beliau melihat seorang tua sedang duduk menghembus asap shisha sambil bersandar dan ketawa melihat bidadari menyanyi dan menari separuh bogel di hadapannya. Di sebelah tangan orang tua itu terdapat guri arak dan gelas yang dituang oleh seorang bidadari.

Kata Omar “Ooo.. di sini terdapat maksiat dan orang tua yang hampir mati ini masih tidak sedarkan dirinya lagi !” Orang tua itu lalu menjawab kata-kata Omar “Hai Omar, engkau menunjukkan satu kesalahanku tetapi engkau mempunyai tiga kesalahan.” Omar lantas terkejut dan berkata “Aku ada tiga kesalahan?” Jawab orang tua itu “Ya Omar, adapun satu kesalahanku ini aku sedar bahawa dosaku antara aku dengan Allah dan perempuan-perempuan penari ini tidak ada kesalahanku kerana mereka hamba sahayaku yang halal aku beli mereka dengan hartaku sendiri.”

Omar bertanya “Apakah kesalahan-kesalahanku?” Jawab orang itu “Adapun tiga kesalahanmu itu antara kamu dengan manusia dan pengampunan Allah tidak ada melainkan pengampunan dari manusia itu sendiri.”

Pertama engkau masuk tanpa izin. Firman Allah Taala “Hai orang-orang yang beriman,apabila kamu datang ke rumah saudaramu, berilah salam kepada ahli rumah itu dan mintalah izin untuk masuk. Jika diizinkan, masuklah, jika tidak bersurailah kamu.”

“Kedua, engkau masuk dari pintu belakang. Firman Allah Taala “Masuklah dari pintu depan dan janganlah kamu masuk dari pintu belakang.”

“Ketiga, engkau mencari-cari kesalahan orang. Firman Allah Taala “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu mengumpat.”

Apabila Omar mendengar jawapan yang mengguris hati itu dari firman-firman Allah Taala, beliau terus menutup mukanya dengan bajunya lalu beredar sambil menangis.

Kisah Omar ini membawa tauladan yang terbaik sebagai seorang pemimpin umat manusia. Sifat yang agung seorang pemimpin yang dahulu sebelum Islam sangat kejam ialah mengakui kesalahan dan kelemahan diri. Oleh kerana itu Saidina Omar menyuruh pengikutnya menegur beliau dengan hujung pedang jika beliau melakukan kesalahan. Beliau sanggup dibunuh oleh orang yang menegurnya dek kerana kesalahan yang dilakukannya sedangkan dahulu beliau adalah pembunuh yang kejam.

Siapa kita dengan Saidina Omar? Adakah kita memiliki ¾(tiga suku)dunia ini seperti yang dimiliki Omar? Tidak ada apa yang nak dibanggakan oleh Omar walaupun dia mempunyai kemasyhuran. Adakah kita yang kerdil daripada Omar pula ingin berbangga?

Orang kita zaman ni kan 'pandai-pandai' belaka. Maklumlah, zaman kini zaman sains dan teknologi. Kebijaksanaan mereka lebih hebat dari para sahabat nabi, bahkan lebih hebat lagi dari nabi-nabi kerana nabi sendiri pun tak pandai cipta kereta, komputer atau lain-lain ciptaan teknologi kini. Mereka kata “Itu zaman unta, sekarang ni zaman apa.”

Kita baru belajar agama Islam dua atau tiga hari, dah pandai berceramah, berhujah, berdebat tentang hal-hal agama Islam. Pengorbanan mereka dalam menegakkan agama Islam ini tak pernah kita lalui. Kita tersasar menjejaki mereka iaitu para sahabat Radhiallahu 'Anhum Ajma'in. Jejak-jejak mereka itu melalui ketakutan, kelaparan, kehilangan harta benda dan nyawa. Sebenarnya kita tidak melalui jejak mereka yang digelar manusia agung dan kita tidak pernah mengalami dari bantuan ghaib yang dialami mereka setelah diuji dengan sebesar-besar ujian. Kita tidak pernah pun melihat mukjizat Rasulullah. Kita tidak pernah pun menadah tangan berdoa pada ketika sangat darurat tetapi kita merasai bahawa kita terbaik dengan amalan-amalan kita.

Serasanya kita dapat menentukan seseorang itu berada di peringkat mana dalam tingkat kerohanian, dapat berhubung dengan alam-alam ghaib dan dengan itu kita dapat meletakkan kategori orang lain samada orang itu munafik, orang ini fasik, orang itu pula riak, ujub, orang ini zindik, murtad dan sebagainya. Kita meletakkan orang lain di lembah kejahatan sahaja manakala jemaah kita di puncak kebaikan.

Inilah yang dialami oleh penulis sendiri ketika menghadiri dan menjadi ahli beberapa jemaah Islamiah. Aku telah berada dalam kategori orang yang 'cakap tak serupa bikin', 'indah lidah berbicara, penuh kesumat di hati'. Tak habis-habis nak menyalahkan orang lain seperti mana Iblis menyalahkan Adam 'Alaihissalam. Tak habis-habis dengan perasaan tak puas hati terhadap orang lain. Bilalah nak habis sifat-sifat mazmumah nih? Sifat Iblis !

Aku telah banyak melalui jalan kaum yang sesat dari jalan Allah. Ketika itu ku sangka berada di atas jalan yang benar. Aku pernah belajar secara khusus di pondok-pondok pengajian sehingga mendapat tauliah mengajar agama Islam. Aku dihormati sebagai seorang ustaz. Lagi banyaklah 'tak puas hati' terhadap orang-orang jahil. Aku rasa aku dah pandai sangat. Sebenarnya aku hanya pandai-pandai1 meletakkan dan menyangka orang lain lebih rendah sehingga aku memandang rendah terhadap mereka.

Jalan itu menuju ke arah kekeliruan dan akhirnya buntu. Aku termenung di persimpangan mencari arah jalan kembali. Aku mulai sedar bahawa aku telah jauh tersesat. Bukanlah tersesat atas perbuatan durjana membuat maksiat yang zahir tetapi sesat dalam alam batinku kerana cintakan pujian orang.

Keikhlasan ialah jalan yang ku tuju sepatutnya walaupun jalan itu penuh ranjau dan halangan serta berbagai dugaan yang menjemput datang dicelah-celah persimpangan aku tak akan peduli lagi kepada terlepas pandang yang ku anggap jalan mudah itu lah jalan ke syurga tetapi sebenarnya tidak begitu bahawa jalan ke syurga itu penuh dengan ujian. Rupa-rupanya jalan yang telah ku lalui dahulu 'indah khabar dari rupa'. Rupanya jalan mudah itu menuju kepayahan dan bencana di penghujungnya.

Allah Taala telah berfirman “Jangan kamu sangka kamu beriman sedangkan kamu belum diuji”. Orang-orang munafik zaman Nabi di Madinah adalah orang yang mengambil jalan mudah untuk mencapai iman. Mereka berkata “Kami telah beriman”. Apabila menghadapi sebarang kesusahan mereka mengeluh kesah dan tidak tahan diuji. Ini kerana mereka berkata di mulut, lain di hati, cinta dunia, takut mati. Kebanyakan mereka kaya yang kedekut, takut hilang harta. Cinta mereka kepada kebendaan melebihi cinta Tuhan.

Siapalah kita dengan Nabi Muhammad Saw.? Baginda seorang maksum, suci dari dosa. Itu pun diuji seberat-beratnya. Adakah kita tidak mahu diuji semata-mata kerana Iman? Kita adalah hamba yang derhaka lagi berdosa. sekurang-kurangnya ujian itu dapat menghapuskan dosa-dosa kita.

Sahabat Nabi juga diuji keimanan selama 10 tahun tanpa perintah selain disuruh beriman. Tidak ada perintah sembahyang ka atas mereka, puasa, zakat atau haji. Itu mereka bersama Nabi Saw. Kita bersama siapa yang menunjuki kita jalan keimanan? Ringkasnya kita dapat iman dengan mudah. Ia mudah naik dan turun atau lebih teruk kalau mudah masuk dan mudah tercabut iman itu. Kita pun mengambil mudah perkara-perkara akidah. Bukankah Allah Taala telah menyatakan di dalam Al-Quran dengan perkataan susah dahulu dan bersama kesusahan itu kesenangan.

Kita sebenarnya telah mendahului Allah, Rasul dan para sahabat bahkan kita mengubah sunah Allah dan sunah Rasul. Akidah patut dahulu diberatkan dan ditekankan tetapi kita sibuk dalam beberapa hari Islam menekan dan memberatkan amal zahiriah. Kita adalah lebih handal dari para sahabat. Amal kita lebih hebat dan lebih banyak dari mereka. Sembahyang kita lebih khusyuk dan sempurna sehingga haji kita mabrur diterima kononnya. Dengan itu kita boleh merendah-rendahkan dan menghina si penderhaka.

Bukankah Nabi bersabda “Awal agama mengenal Allah”? Kemudian barulah berhakikat, bertarikat dan bersyari'at. Sementara sampai ke syari'at, iman kita diuji dahulu, barulah mudah menerima segala perintah Allah Taala dan suruhan serta ikutan Rasul Nya.

Bermula dengan berfikir dalam tafakkur percahaya lah iman itu dengan cahaya fikir sehingga mendapat hakikatnya setelah berjaya dari ujian. Kemudian barulah kita manis berzikir dalam tarikat dan bawalah ia ke alam sembahyang yang merasai kelazatan hasil buah yang putik dan yang masak. Terdapat di dalam buah solah itu benih-benih keikhlasan yang menyucikan batin dari 10 sifat Iblis tercela iaitu sombong, hasad, tamak, cinta dunia, riak, ujub, sum'ah, suka banyak cakap, suka makan gelojoh dan dendam.

Benih keikhlasan itu menghasilkan akhlak yang tertinggi dan terpuji, bukan buat-buat kerana pura-pura tetapi ia adalah kurnia Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Berkehendak. 50 aqa-idil iman itu melengkapi antara satu sama lain kerana 50-1=0 (sifir akidah). 'Biasalah satu sifat harus Allah Taala. Dia boleh buat apa sahaja sekehendak Nya'. Kalau jadi sifat harus Allah Taala itu kepada orang taat boleh diazab, kenapa pula orang yang taat itu merasai selamat? Mulalah datang sifat riak dan sombong, merasai dirinya sempurna dan hebat dengan ketaatannya. Ini disebabkan dia ambil ringan dengan sifat harus Allah Taala dalam iktiqadnya. Pegangannya tidak kuat. Dek kerana satu ini terungkai 49 ikatan.

Itulah sebab Islam kita di zaman ini pagi beriman, petang kafir, pagi masuk iman, petang tercabut iman, bukan turun naik lagi bahkan ada yang tercabut terus dan masuk agama lain.

Kalau kena sifat harus Allah Taala itu kepada penderhaka boleh diampunkan oleh Allah Taala, kenapa pula dia nak berputus asa dengan rahmat dan kehendak Nya dan kenapa pula dia patut dihina oleh orang yang taat? 'Sesungguhnya rahmat Nya diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki Nya dan ditegah kepada sesiapa yang dikehendaki Nya'.

Itulah yang dikatakan orang zaman moden ni 'pandai-pandai' belaka. Sudahlah pandai mencipta alat-alat sehingga mengenai agama pun mereka tu 'pandai-pandai' belaka. Mereka lebih bijak dari Nabi Muhammad, para sahabat, tabi'in dan orang-orang di kurun 7 hingga 15 Masihi. Tetapi sebenarnya kita tidak pandai mengawal hati dan minda dalam perhubungan sosial, ekonomi atau pun politik. Kita tidak dapat masuk personaliti orang lain untuk disatukan hati-hati manusia. Sebenarnya kita tidak pandai 'berkemanusiaan' tetapi kita hanya pandai terhadap kebendaan. Kalau tak ada manusia, apakah jadi benda-benda dunia ni? Manusia dulu kah atau benda-benda?

1 comments:

sulong said...

fahami perkataan berganda 'pandai-pandai' mempunyai 2 pengertian
1)Kata majmuk iaitu ramai atau banyak
2)memandai

Post a Comment


| Via Blogger Templates