Tauladan Nabi Terhadap Kaum Taif
Kisah Nabi s.a.w. keluar menuju ke Taif
Setelah kematian Abu Talib, kaum Quraish lebih mempergiatkan tentangan mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w. tidak seperti tentangan mereka ketika hayat Abu Talib. Nabi Muhammad s.a.w. pun bertekat untuk keluar menuju ke Taif oleh kerana terlalu tertekan dengan bertambahnya gangguan dari puak Quraish terutama dari bapa saudaranya sendiri Abu Lahab dan isterinya yang telah mengumpulkan kayu yang berduri untuk menghalang perjalanan Nabi berdakwah sambil mengejek, mencerca dan mendustakan agama yang dibawa oleh Nabi s.a.w.
Kata Saidina Ali “Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. ditangkap oleh kaum Quraish, diikat leher Baginda dengan kain dan mereka saling tarik menarik menjerut leher Nabi sambil mereka berkata : Engkaukah yang menjadikan Tuhan yang banyak itu sebagai tuhan yang satu?” Kata Ali “Demi Allah tidak seorang pun yang berani mendekati kecuali Abu Bakr lalu beliau memukul orang di sebelah Nabi dan berkata “Adakah kamu ingin membunuh seorang lelaki yang hanya berkata Tuhanku ialah Allah?”.
Maka oleh kerana tentangan hebat puak Quraish itu, Baginda bertekad untuk pergi seorang diri ke Taif pada bulan Syawal tahun yang kesepuluh selepas Baginda dilantik menjadi Rasul. Diceritakan bahawa hamba Nabi s.a.w. Zaid bin Harisah telah menjejaki Baginda secara diam-diam dari Tsaqif yang mana Baginda mengharapkan Bani Thaqif memeluk Islam dan mengharapkan mereka membantu Baginda untuk memperjuangkan Islam dan bangun bersama Baginda untuk menghadapi tentangan kaumnya.
Baginda Rasulullah s.a.w. keluar ke Taif untuk menghiburkan hati Baginda. Lagi pun harapan Baginda amat besar supaya dapat mempengaruhi Bani Tsaqif iaitu suatu puak yang sangat kuat dan besar bilangan penduduknya. Setengah mereka berkata bahawa Baginda keluar ketika terlalu sempit hati Baginda dan letih menanggung segala penderitaan dan ancaman dari puak Quraish. Apabila Baginda sampai sahaja ke Taif terus Baginda menuju kepada pemuka Bani Tsaqif dan para pembesar mereka yang sangat berpengaruh iaitu tiga saudara Abdu Yalil yang digelar Kinanah yang mana beliau belum mengenal Islam, Abdu Kulail yang digelar Mas’ud dan Hubaib. Ketiga saudara itu ialah anak-anak kepada ‘Amru bin ‘Umair bin ‘Auf As-Tsaqafi.
Baginda duduk bersama mereka dan berbincang tentang apakah yang Baginda bawa dari agama Islam supaya mereka membantunya dan berdiri bersamanya menghadapi tentangan kaum Quraish. Kata seorang dari mereka “Dia inikah yang menjual kain Kaabah, mencuri dan memotongnya? Adakah Allah mengutuskan engkau supaya engkau mencuri?” Seorang yang lain pula berkata “ Tidak kah ada seorang yang lain selain engkau untuk diutuskan oleh Allah?". Kata orang yang ketiga pula "Demi Allah! Aku tidak akan bercakap denganmu selama-lamanya. Sekiranya engkau seorang Rasul sepertimana yang kau katakan, nescaya engkau terlebih bahaya terhadap kami dan akan mendatangkan mala petaka. Sekiranya engkau berdusta terhadap Allah tidak ada gunanya aku bercakap dengan engkau".
Baginda pun bangun dan meninggalkan ketua-ketua kaum itu bersama perasaan kecewa untuk mendapatkan harapan kebaikan dari Bani Tsaqif. Baginda pun berkata "Sembunyikan aku dari kaummu". Ini kerana Baginda tidak mahu perkara ini sampai kepada kaum Tsaqif dan menjadi payah untuk Baginda menyampaikan dakwahnya. Bahkan mereka mengherdik Baginda seraya berkata "Keluarlah engkau dari negeri kami dan pergilah ke bumi mana pun yang mana engkau boleh bercakap seorang diri.
Pemuka Bani Tsaqif itu pun mengumpulkan anak-anak hantu dan hamba-hamba mereka untuk mencerca dan mengherdik Baginda sehingga orang ramai pun berkumpul dan membuat dua barisan di sepanjang perjalanan pulang Baginda Rasulullah s.a.w. agar tidak dibenarkankan kedua kaki Baginda melangkah sehinggakan mereka melontarkan batu-batu tajam ke arah Baginda dan Zaid bin Haritsah. Setiba Baginda di penghujung kota Taif kelihatan darah yang mengalir dari tubuh mulia Baginda sehingga memenuhi kedua kasut Baginda s.a.w.
Alangkah terasa sakitnya kaki Baginda apabila terasa kasut Baginda licin dipenuhi darah lalu Baginda duduk di atas tanah, namun Baginda menguatkan otot kakinya dan terus bangun. Apabila sahaja Baginda berjalan, mereka melontarnya dengan batu sambil ketawa. Bersama Baginda Zaid juga menguatkan dirinya sehingga mendapat luka yang banyak di kepalanya.
Setelah melepasi mereka, kedua kaki Baginda mengalirkan darah yang banyak, maka Baginda pun menuju ke tepi dinding kebun-kebun mereka dan berlindung di bawang naungan pohon anggur. Kedengaran sayup-sayup suara doa Nabi yang sangat mengharukan demikian bunyinya ;
"Ya Allah sesungguhnya aku mengadukan kelemahan kekuatanku dan kurang daya upayaku serta kehinaanku pada pandangan manusia wahai Tuhan yang maha pengasih dari semua para pengasih. Engkau melindungi orang-orang yang lemah dan Engkau melindungiku. Kepada siapakah Engkau serahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang Engkau berikan urusanku Jika sekiranya tidak menjadikan kemarahanMu terhadapku dan Engkau redha maka aku tidak peduli".
Demikianlah sedihnya doa yang dihadapkan kepada Allah oleh Nabi sehingga Dia mengutuskan Jibril buat menemui Baginda. Setibanya di hadapan Nabi, dia pun memberi salam seraya berkata:
"Allah mengetahui apa yang berlaku di antara kamu dan orang-orang ini. Dia telah menyediakan malaikat di gunung ganang di sini khas untuk menjalankan perintah kamu". Sambil berkata demikian Jibril pun menghadapkan Malaikat-malaikat itu ke muka Nabi.
Kata Malaikat-malaikat itu "Wahai Rasulullah! Kami bersiap sedia untuk menjalankan perintah tuan. Kalau dikehendaki kami sanggup menyebabkan gunung ganang di sebelah ini berlanggaran sehingga penduduk di sekitarnya mati tertindih. Kalau tidak tuan cadangkan sahaja apa hukuman yang selayaknya diterima oleh orang-orang ini".
Mendengar janji malaikat-malaikat itu, Nabi Besar Muhammad s.a.w. yang penuh dengan sifat rahim dan belas kasihan pun berkata "Walaupun orang-orang ini tidak menerima Islam, saya harap dengan kehendak Allah suatu hari nanti anak-anak mereka akan menyembah Allah dan berbakti kepada Nya.
Nah! Sekarang perhatikanlah tauladan mulia dan suci murni yang telah dipertunjukkan oleh Baginda Nabi. Kita semua mengakui yang kita menjadi pengikutnya tetapi di dalam urusan hidup kita seharian, apabila cadangan kita ditolak atau tidak dipersetujui, kita dengan cepat meradang, melemparkan maki hamun dan kadang-kadang bercita-cita untuk membalas dendam terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan kita.
Sebagai pengikutnya, kita hendaklah mencontohi Baginda. Selepas menerima penghinaan di tangan penduduk-penduduk kota Taif, Baginda hanya berdoa dan tidak memarahi mereka, tidak mengutuk mereka dan tidak mengambil sebarang tindakan balas pun yang telah diberi kesempatan sebaik-baiknya untuk berbuat demikian.
Dikatakan bahawa kebun itu adalah kepunyaan 'Utbah dan Syaibah bin Rabi'ah. Mereka telah melihat apakah yang telah dilakukan oleh penduduk Taif terhadap Rasulullah s.a.w. lalu mereka merasa belas kasihan terhadap Baginda dan Zaid. Kemudian mereka memanggil budak suruhan mereka bernama 'Addas seorang yang beragama Nasrani. Selepas itu 'Addas menjadi salah seorang sahabat Nabi yang terbilang dan mati sebelum keluar ke peperangan Badr.
Katanya kepada 'Addas "Ambillah segugus buah Anggur ini dan berikan kepada mereka berdua". 'Addas pun pergilah dan menyuruh Baginda makan. Maka apabila diletakkan anggur itu di atas tapak tangan Baginda yang mulia itu lalu Baginda mengucapkan Bismillahirrahmanirrahim dan terus makan. Maka 'Addas melihat pada wajah Baginda Muhammad s.a.w. katanya "Demi Allah perkataan ini seperti yang diucapkan oleh penduduk negeri ini.
Baginda bertanya "Kamu dari negeri mana? Dan apakah agamamu wahai Addas?". Dia menjawab "Nasrani dan saya dari Niwawi". Maka kata Rasulullah s.a.w. "Ia adalah bandar seorang lelaki yang soleh iaitu Yunus bin Matta". Dengan sebab itu Addas pula bertanya "Bagaimana engkau dapat mengenali Yunus bin Matta? Saya demi Allah adalah dilahirkan dari Niwawi padahal engkau dari bangsa Ummi". Maka jawab Rasulullah s.a.w. "Dia itu adalah saudaraku yang mana dia adalah seorang nabi dan aku nabi yang Ummi". Rasulullah s.a.w. pun terus menceritakan peristiwa yang berlaku di antara Yunus dan kaumnya sebagaimana yang diceritakan di dalam Al-Quran.
Selesai sahaja Baginda menceritakan, Addas pun melutut sambil mencium dahi dan mencium tangan serta kaki Baginda s.a.w.. Melihat perbuatan hamba tadi, berkatalah Utbah kepada Syaibah "Hambamu itu telah mengkhianati engkau". Apabila Addas tiba kepada mereka berdua berkata Syaibah "Celaka engkau, apa kena dengan engkau ini mencium kepala lelaki itu dan mencium tangan serta kakinya?". Jawab Addas "Wahai tuanku, tidak ada sesuatu pun lebih baik dari ini, sesungguhnya tidak ada seorang yang mampu memberitahu aku sesuatu yang tidak diketahui kecuali seorang nabi. Dia adalah seorang nabi yang aku ketahui telah menceritakan seorang rasul yang diutuskan ke atas kami dinamakan Yunus bin Matta". Syaibah menyergahnya "Celaka engkau wahai Addas, jangan lah engkau perpaling dari agamamu".
1 comments:
Kesimpulan:
Harapan Baginda agar anak-anak kaum Taif menjadi pembela dan pembantu agama Allah akhirnya terbukti pada zaman Khalifah Makmun Ar-Rasyid, salah seorang yang terkenal ialah Muhammad bin Qasim yang bertanggungjawab atas penyebaran agama Islam di Nusantara.
Kita hendaklah mencontohi Baginda Nabi Muhammad s.a.w. seperti kisah di atas. Walaupun diberi kesempatan untuk membalas dendam, tetapi dengan penuh harapan dan kasih sayang terhadap umat manusia, Baginda hanya memaafkan sahaja terhadap mereka yang memusuhinya.
Post a Comment