Tauladan Nabi Terhadap Kaum Taif


Kisah Nabi s.a.w. keluar menuju ke Taif

Setelah kematian Abu Talib, kaum Quraish lebih mempergiatkan tentangan mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w. tidak seperti tentangan mereka ketika hayat Abu Talib. Nabi Muhammad s.a.w. pun bertekat untuk keluar menuju ke Taif oleh kerana terlalu tertekan dengan bertambahnya gangguan dari puak Quraish terutama dari bapa saudaranya sendiri Abu Lahab dan isterinya yang telah mengumpulkan kayu yang berduri untuk menghalang perjalanan Nabi berdakwah sambil mengejek, mencerca dan mendustakan agama yang dibawa oleh Nabi s.a.w.

Kata Saidina Ali “Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. ditangkap oleh kaum Quraish, diikat leher Baginda dengan kain dan mereka saling tarik menarik menjerut leher Nabi sambil mereka berkata : Engkaukah yang menjadikan Tuhan yang banyak itu sebagai tuhan yang satu?” Kata Ali “Demi Allah tidak seorang pun yang berani mendekati kecuali Abu Bakr lalu beliau memukul orang di sebelah Nabi dan berkata “Adakah kamu ingin membunuh seorang lelaki yang hanya berkata Tuhanku ialah Allah?”.

Maka oleh kerana tentangan hebat puak Quraish itu, Baginda bertekad untuk pergi seorang diri ke Taif pada bulan Syawal tahun yang kesepuluh selepas Baginda dilantik menjadi Rasul. Diceritakan bahawa hamba Nabi s.a.w. Zaid bin Harisah telah menjejaki Baginda secara diam-diam dari Tsaqif yang mana Baginda mengharapkan Bani Thaqif memeluk Islam dan mengharapkan mereka membantu Baginda untuk memperjuangkan Islam dan bangun bersama Baginda untuk menghadapi tentangan kaumnya.

Baginda Rasulullah s.a.w. keluar ke Taif untuk menghiburkan hati Baginda. Lagi pun harapan Baginda amat besar supaya dapat mempengaruhi Bani Tsaqif iaitu suatu puak yang sangat kuat dan besar bilangan penduduknya. Setengah mereka berkata bahawa Baginda keluar ketika terlalu sempit hati Baginda dan letih menanggung segala penderitaan dan ancaman dari puak Quraish. Apabila Baginda sampai sahaja ke Taif terus Baginda menuju kepada pemuka Bani Tsaqif dan para pembesar mereka yang sangat berpengaruh iaitu tiga saudara Abdu Yalil yang digelar Kinanah yang mana beliau belum mengenal Islam, Abdu Kulail yang digelar Mas’ud dan Hubaib. Ketiga saudara itu ialah anak-anak kepada ‘Amru bin ‘Umair bin ‘Auf As-Tsaqafi.

Baginda duduk bersama mereka dan berbincang tentang apakah yang Baginda bawa dari agama Islam supaya mereka membantunya dan berdiri bersamanya menghadapi tentangan kaum Quraish. Kata seorang dari mereka “Dia inikah yang menjual kain Kaabah, mencuri dan memotongnya? Adakah Allah mengutuskan engkau supaya engkau mencuri?” Seorang yang lain pula berkata “ Tidak kah ada seorang yang lain selain engkau untuk diutuskan oleh Allah?". Kata orang yang ketiga pula "Demi Allah! Aku tidak akan bercakap denganmu selama-lamanya. Sekiranya engkau seorang Rasul sepertimana yang kau katakan, nescaya engkau terlebih bahaya terhadap kami dan akan mendatangkan mala petaka. Sekiranya engkau berdusta terhadap Allah tidak ada gunanya aku bercakap dengan engkau".

Baginda pun bangun dan meninggalkan ketua-ketua kaum itu bersama perasaan kecewa untuk mendapatkan harapan kebaikan dari Bani Tsaqif. Baginda pun berkata "Sembunyikan aku dari kaummu". Ini kerana Baginda tidak mahu perkara ini sampai kepada kaum Tsaqif dan menjadi payah untuk Baginda menyampaikan dakwahnya. Bahkan mereka mengherdik Baginda seraya berkata "Keluarlah engkau dari negeri kami dan pergilah ke bumi mana pun yang mana engkau boleh bercakap seorang diri.

Pemuka Bani Tsaqif itu pun mengumpulkan anak-anak hantu dan hamba-hamba mereka untuk mencerca dan mengherdik Baginda sehingga orang ramai pun berkumpul dan membuat dua barisan di sepanjang perjalanan pulang Baginda Rasulullah s.a.w. agar tidak dibenarkankan kedua kaki Baginda melangkah sehinggakan mereka melontarkan batu-batu tajam ke arah Baginda dan Zaid bin Haritsah. Setiba Baginda di penghujung kota Taif kelihatan darah yang mengalir dari tubuh mulia Baginda sehingga memenuhi kedua kasut Baginda s.a.w.

Alangkah terasa sakitnya kaki Baginda apabila terasa kasut Baginda licin dipenuhi darah lalu Baginda duduk di atas tanah, namun Baginda menguatkan otot kakinya dan terus bangun. Apabila sahaja Baginda berjalan, mereka melontarnya dengan batu sambil ketawa. Bersama Baginda Zaid juga menguatkan dirinya sehingga mendapat luka yang banyak di kepalanya.

Setelah melepasi mereka, kedua kaki Baginda mengalirkan darah yang banyak, maka Baginda pun menuju ke tepi dinding kebun-kebun mereka dan berlindung di bawang naungan pohon anggur. Kedengaran sayup-sayup suara doa Nabi yang sangat mengharukan demikian bunyinya ;

"Ya Allah sesungguhnya aku mengadukan kelemahan kekuatanku dan kurang daya upayaku serta kehinaanku pada pandangan manusia wahai Tuhan yang maha pengasih dari semua para pengasih. Engkau melindungi orang-orang yang lemah dan Engkau melindungiku. Kepada siapakah Engkau serahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang Engkau berikan urusanku Jika sekiranya tidak menjadikan kemarahanMu terhadapku dan Engkau redha maka aku tidak peduli".

Demikianlah sedihnya doa yang dihadapkan kepada Allah oleh Nabi sehingga Dia mengutuskan Jibril buat menemui Baginda. Setibanya di hadapan Nabi, dia pun memberi salam seraya berkata:

"Allah mengetahui apa yang berlaku di antara kamu dan orang-orang ini. Dia telah menyediakan malaikat di gunung ganang di sini khas untuk menjalankan perintah kamu". Sambil berkata demikian Jibril pun menghadapkan Malaikat-malaikat itu ke muka Nabi.

Kata Malaikat-malaikat itu "Wahai Rasulullah! Kami bersiap sedia untuk menjalankan perintah tuan. Kalau dikehendaki kami sanggup menyebabkan gunung ganang di sebelah ini berlanggaran sehingga penduduk di sekitarnya mati tertindih. Kalau tidak tuan cadangkan sahaja apa hukuman yang selayaknya diterima oleh orang-orang ini".

Mendengar janji malaikat-malaikat itu, Nabi Besar Muhammad s.a.w. yang penuh dengan sifat rahim dan belas kasihan pun berkata "Walaupun orang-orang ini tidak menerima Islam, saya harap dengan kehendak Allah suatu hari nanti anak-anak mereka akan menyembah Allah dan berbakti kepada Nya.

Nah! Sekarang perhatikanlah tauladan mulia dan suci murni yang telah dipertunjukkan oleh Baginda Nabi. Kita semua mengakui yang kita menjadi pengikutnya tetapi di dalam urusan hidup kita seharian, apabila cadangan kita ditolak atau tidak dipersetujui, kita dengan cepat meradang, melemparkan maki hamun dan kadang-kadang bercita-cita untuk membalas dendam terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan kita.

Sebagai pengikutnya, kita hendaklah mencontohi Baginda. Selepas menerima penghinaan di tangan penduduk-penduduk kota Taif, Baginda hanya berdoa dan tidak memarahi mereka, tidak mengutuk mereka dan tidak mengambil sebarang tindakan balas pun yang telah diberi kesempatan sebaik-baiknya untuk berbuat demikian.

Dikatakan bahawa kebun itu adalah kepunyaan 'Utbah dan Syaibah bin Rabi'ah. Mereka telah melihat apakah yang telah dilakukan oleh penduduk Taif terhadap Rasulullah s.a.w. lalu mereka merasa belas kasihan terhadap Baginda dan Zaid. Kemudian mereka memanggil budak suruhan mereka bernama 'Addas seorang yang beragama Nasrani. Selepas itu 'Addas menjadi salah seorang sahabat Nabi yang terbilang dan mati sebelum keluar ke peperangan Badr.

Katanya kepada 'Addas "Ambillah segugus buah Anggur ini dan berikan kepada mereka berdua". 'Addas pun pergilah dan menyuruh Baginda makan. Maka apabila diletakkan anggur itu di atas tapak tangan Baginda yang mulia itu lalu Baginda mengucapkan Bismillahirrahmanirrahim dan terus makan. Maka 'Addas melihat pada wajah Baginda Muhammad s.a.w. katanya "Demi Allah perkataan ini seperti yang diucapkan oleh penduduk negeri ini.

Baginda bertanya "Kamu dari negeri mana? Dan apakah agamamu wahai Addas?". Dia menjawab "Nasrani dan saya dari Niwawi". Maka kata Rasulullah s.a.w. "Ia adalah bandar seorang lelaki yang soleh iaitu Yunus bin Matta". Dengan sebab itu Addas pula bertanya "Bagaimana engkau dapat mengenali Yunus bin Matta? Saya demi Allah adalah dilahirkan dari Niwawi padahal engkau dari bangsa Ummi". Maka jawab Rasulullah s.a.w. "Dia itu adalah saudaraku yang mana dia adalah seorang nabi dan aku nabi yang Ummi". Rasulullah s.a.w. pun terus menceritakan peristiwa yang berlaku di antara Yunus dan kaumnya sebagaimana yang diceritakan di dalam Al-Quran.

Selesai sahaja Baginda menceritakan, Addas pun melutut sambil mencium dahi dan mencium tangan serta kaki Baginda s.a.w.. Melihat perbuatan hamba tadi, berkatalah Utbah kepada Syaibah "Hambamu itu telah mengkhianati engkau". Apabila Addas tiba kepada mereka berdua berkata Syaibah "Celaka engkau, apa kena dengan engkau ini mencium kepala lelaki itu dan mencium tangan serta kakinya?". Jawab Addas "Wahai tuanku, tidak ada sesuatu pun lebih baik dari ini, sesungguhnya tidak ada seorang yang mampu memberitahu aku sesuatu yang tidak diketahui kecuali seorang nabi. Dia adalah seorang nabi yang aku ketahui telah menceritakan seorang rasul yang diutuskan ke atas kami dinamakan Yunus bin Matta". Syaibah menyergahnya "Celaka engkau wahai Addas, jangan lah engkau perpaling dari agamamu".

Sunnah Nabi Dipermainkan

Kalong Emas Beri Pakai Kepada Leher Babi

Begitulah kata Imam Syafie. Sunnah Nabi telah disalahgunakan. 'Ilmu kalau diberikan kepada orang yang berhak adalah adil. Jika diberikan kepada orang yang tidak layak itu adalah zalim dan menyembunyikan ilmu itu adalah fasik' kata Imam Syafie lagi.

Bukan senang ye? Tanggungjawab ilmu, menanggungnya ibarat 'luah mati bapak, telan mati emak'. Kalau ditegah ilmu tu, zalimlah orang Alim tu dan kalau salah beri pakai kepada orang yang bukan ahlinya, fasik pulak jadinya orang Alim tu. Maka banyaklah orang Alim fasik di alam ini kerana menyalahgunakan amanah Allah itu.

Ilmu yang dipelajari itu menjadi kesan negatif lebih daripada memberi kesan positif. Maksudnya kesan terhadap hati yang dapat menyemai benih kehalusan budipekerti dan ketenangan abadi. Orang tak tahu bahawa ‘Ilmu itu bukan riwayat tetapi ia adalah dirayat/pengalaman’. Mereka melihat orang itu dikatakan bijak apabila pandai berkata-kata dan berucap dengan alunan antonasi bahasa yang memukau dan memikat ketika berpidato. Orang ini dikatakan orang yang berilmu atau ulamak.

Mereka menganggap bahawa ilmu itu riwayat atau pandai bercerita hal-hal orang yang terdahulu seperti para nabi dan rasul, khalifah, para sahabat, tabi’in, ulamak salaf dan para wali. Ilmu itu ialah mengetahui sejarah, boleh mentafsir Al-Quran, meriwayatkan hadis, mengajar ilmu-ilmu agama seperti ilmu tauhid, fekah dan tasawuf. Orang Alim itu menceritakan hal orang lain yang terdahulu darinya melalui kitab-kitab yang telah ditulis melalui pengalaman-pengalaman mereka yang terdahulu.

Padahal orang Alim itu tidak pernah meresapi celupan atau pun sedikit pun menghidu bau-bauan mereka yang terdahulu. Hanya sekadar bercerita dan mengajar, maka lain pengalaman yang dialami oleh guru, lain perjalanan yang dijejakinya.

Pelik ye? Bagaimana seorang yang berilmu itu boleh sesat lagi menyesatkan orang lain ke arah negatif? Jika ilmu tidak berdasarkan pengalaman, dan hanya ia menjadi bicara ilmu. Puncanya ialah kelalaian dan tidak sedar di mana kedudukan orang yang berilmu sebenarnya.

Pernahkah anda mendengar firman Allah seperti di bawah ini?

"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya lalu Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran". QS. al-Jatsiyah (45) : 23

Aku nak memberi contoh orang yang seperti disebutkan dalam firman di atas. Orang ini hanya mengajar, menyuruh, menekankan hukum ke atas orang lain tetapi melonggarkan ke atas dirinya. Dia hanya menunjukkan contoh melalui perkataan-perkataannya sahaja tidak dengan contoh perbuatan.

Sama seperti firman Allah Taala;
“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir?”. QS. al-Baqarah (2) : 44

Apakah mereka tidak menjalani jejak Rasulullah Saw.? Bukankah Baginda ialah Mahaguru kepada umat ini? Setiap pergerakan Baginda adalah contoh teladan yang baik dan itulah ilmu. Cuba kita kembali melihat sejarah perang Khandaq dan al-kisah terperinci riwayat begini sebutnya, suatu ketika perang Khandaq dan dinamakan Khandaq itu disebabkan gali parit. Baginda bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya bagaimana untuk menghalang bala tentera musuh dari menyerang mereka.

Maka masing-masing memberi pendapat. Ada yang berpendapat kita tidak payah memasang unggun api, kita terus menghadapi musuh sehingga syahid, kita berpindah tempat perkhemahan dan sebagainya . Akan tetapi Rasulullah Saw. telah mendengar Salman Al-Firisi berkata “Baik juga kita menggali parit dan menjeratnya dengan meletakkan tutupan pada lubang parit itu, maka apabila musuh datang, tidak lah sempat mereka menyerang dan kita membunuh mereka yang terjun ke dalam parit.

Bukan maksudku hendak menceritakan sejarah dan kebijaksanaan kaum muslimin dalam strategi peperangan, tetapi sikap contoh Rasulullah Saw. ‘Lalu tanpa berkata sepatah pun sebagai jawapannya yang Rasulullah Saw. menerima cadangan Salman atau tanpa menyuruh para sahabat melakukan penggalian parit tersebut dengan arahan sedikit pun, maka Baginda pun mengambil cangkul dan menggalinya seorang diri. Apa lagi yang diperhatikan oleh para sahabat? Melainkan mereka mengikuti perbuatan Rasulullah Saw. mengambil cangkul dan beramai-ramai melakukannya.

Setiap tindakan bahawa Nabi dahulu yang melakukannya seperti memberi salam, menghantar makanan pada waktu malam kepada orang-orang miskin, mengatur batu untuk membina masjid Nabawi dan lain-lain sehingga para sahabat tidak tahu apakah gerangan bakal dilakukan oleh Rasulullah Saw. Baginda adalah contoh yang mendahului dalam bentuk perbuatan, perkataan atau pun siru sira (rahsia di dalam rahsia) hati Nabi yang mana lagi tidak diketahui oleh para sahabatnya.

Itulah seperti yang aku katakan dahulu seumpama ini ialah ulamak ego yang menuding jari telunjuk tak sedarkan diri dengan 3 kesalahan. Pertama tidak mengotakan apa yang dikatakan, kedua menghina kaum muslimin yang bertaraf rendah dan ketiga malas untuk mengeluarkan tenaga membantu dengan melakukan perbuatan baik. Banyak aku dapati guru yang tahu mengarah sahaja.

Cubalah mereka belajar hikmah Nabi sedikit. Contohnya ketika menegur, ia tidak salah kalau kena pada masa dan tempatnya. Baca dan hayati sungguh-sungguh perilaku Nabi yang bertertib ketika menegur. Pada ketika orang sedang melakukan sesuatu kesalahan, jangan lah ditegur seketika itu jugak. Kerana orang yang sedang melakukan kesalahan atau kejahatan, pasti tidak akan menerima apa-apa teguran pun. Sifat tangguhkan bicara kesalahannya itu termaktub di dalam kitab-kitab hadis. Ia juga adalah sifat Allah Taala yang menangguhkan hukuman sehingga hari akhirat, hari pembalasan terhadap manusia degil.

Walaupun Nabi adalah sangat sensitif dengan setiap kejahatan dan tidak sanggup melihatnya kecuali perbuatan yang amat zalim seperti membunuh, wajib ditegah ketika itu juga. Ini semua bergantung kepada apa keadaan yang sesuai dalam tindakan kita. Cara sunnah Nabi yang bijaksana inilah yang kebanyakan diabaikan. Itu pun bukan hanya menegur sahaja tetapi jika pembunuh itu degil, tindakannya adalah dengan perbuatan.

serambi madinah


ShoutMix chat widget

Celoteh Pak Long



Mati-mati Mereka Pertahankan

Manusia ni ada satu perangai yang dinamakan degil, dengan kata yang lebih lembut sikit 'keras hati'. Yang peliknya kalau kesalahan atau kejahatan pun mati-mati mereka pertahankan walaupun sudah tahu benda tu tak elok, benda tu suatu kesalahan.

Ada jenis mereka ni yang 'lempar batu sorok tangan' mati-mati tidak mahu mengaku kesalahan. Orang yang macam ni susah nak mengeluarkan air mata bertaubat di hadapan Allah Taala melainkan kalau paksa air mata tu dengan picit bawang merah.

Haii..bukankah ahli tarikat yang masing-masing yang nak jadi wali tu diwajibkan bertaubat pada setiap permulaan dan penyudah sesuatu amal itu walau amal kebaikan sekali pun? Sementelah lagi lah kalau mereka jelas melakukan kesalahan atau kejahatan, bertambah-tambah lagilah istighfar tu sampai seribu kali atau lebih..

Kita biasalah kalau keras hati bertegang leher mempertahankan kewibawaan diri kita apabila kita mengiktiqadkan pendapat kita benar yang kita percaya ia benar walaupun pada pandangan orang lain ia salah. Orang jenis ini ada masalah pandangan rabun mata, yang putih dia nampak hitam, yang hitam dia nampak putih, yang baik dia nampak jahat dan yang jahat dia nampak baik.




“Hhhaahh!! puak tu tak betul pembawakannya”. Jadi dia sahaja yang betul. Orang lain tak betul seolah-olahnya. 'Kita sebagai manusia sering melakukan kesalahan'. Perkataan ni dah selalu kita dengar dari ustaz-ustaz. Kalau tak faham lagi tak tahu lah. Mungkin orang tu tak pernah melakukan kesalahan, suci, bersih, maksum macam malaikat.

Sebenarnya, kalau kita tuding jari kepada orang satu kesalahan, tiga jari lagi yang tunjuk kepada diri kita tiga kesalahan. Sebenarnya cerita 'tuding jari' ni berlaku kepada Saidina Omar sendiri.

Ketika itu beliau selalu melawat kawasan pada waktu malam seorang diri. Di sebuah rumah besar orang kaya, terdengar bunyi alat-alat tarian golek dan gelak ketawa lalu beliau terjah masuk melalui pintu belakang rumah itu. Beliau melihat seorang tua sedang duduk menghembus asap shisha sambil bersandar dan ketawa melihat bidadari menyanyi dan menari separuh bogel di hadapannya. Di sebelah tangan orang tua itu terdapat guri arak dan gelas yang dituang oleh seorang bidadari.

Kata Omar “Ooo.. di sini terdapat maksiat dan orang tua yang hampir mati ini masih tidak sedarkan dirinya lagi !” Orang tua itu lalu menjawab kata-kata Omar “Hai Omar, engkau menunjukkan satu kesalahanku tetapi engkau mempunyai tiga kesalahan.” Omar lantas terkejut dan berkata “Aku ada tiga kesalahan?” Jawab orang tua itu “Ya Omar, adapun satu kesalahanku ini aku sedar bahawa dosaku antara aku dengan Allah dan perempuan-perempuan penari ini tidak ada kesalahanku kerana mereka hamba sahayaku yang halal aku beli mereka dengan hartaku sendiri.”

Omar bertanya “Apakah kesalahan-kesalahanku?” Jawab orang itu “Adapun tiga kesalahanmu itu antara kamu dengan manusia dan pengampunan Allah tidak ada melainkan pengampunan dari manusia itu sendiri.”

Pertama engkau masuk tanpa izin. Firman Allah Taala “Hai orang-orang yang beriman,apabila kamu datang ke rumah saudaramu, berilah salam kepada ahli rumah itu dan mintalah izin untuk masuk. Jika diizinkan, masuklah, jika tidak bersurailah kamu.”

“Kedua, engkau masuk dari pintu belakang. Firman Allah Taala “Masuklah dari pintu depan dan janganlah kamu masuk dari pintu belakang.”

“Ketiga, engkau mencari-cari kesalahan orang. Firman Allah Taala “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu mengumpat.”

Apabila Omar mendengar jawapan yang mengguris hati itu dari firman-firman Allah Taala, beliau terus menutup mukanya dengan bajunya lalu beredar sambil menangis.

Kisah Omar ini membawa tauladan yang terbaik sebagai seorang pemimpin umat manusia. Sifat yang agung seorang pemimpin yang dahulu sebelum Islam sangat kejam ialah mengakui kesalahan dan kelemahan diri. Oleh kerana itu Saidina Omar menyuruh pengikutnya menegur beliau dengan hujung pedang jika beliau melakukan kesalahan. Beliau sanggup dibunuh oleh orang yang menegurnya dek kerana kesalahan yang dilakukannya sedangkan dahulu beliau adalah pembunuh yang kejam.

Siapa kita dengan Saidina Omar? Adakah kita memiliki ¾(tiga suku)dunia ini seperti yang dimiliki Omar? Tidak ada apa yang nak dibanggakan oleh Omar walaupun dia mempunyai kemasyhuran. Adakah kita yang kerdil daripada Omar pula ingin berbangga?

Orang kita zaman ni kan 'pandai-pandai' belaka. Maklumlah, zaman kini zaman sains dan teknologi. Kebijaksanaan mereka lebih hebat dari para sahabat nabi, bahkan lebih hebat lagi dari nabi-nabi kerana nabi sendiri pun tak pandai cipta kereta, komputer atau lain-lain ciptaan teknologi kini. Mereka kata “Itu zaman unta, sekarang ni zaman apa.”

Kita baru belajar agama Islam dua atau tiga hari, dah pandai berceramah, berhujah, berdebat tentang hal-hal agama Islam. Pengorbanan mereka dalam menegakkan agama Islam ini tak pernah kita lalui. Kita tersasar menjejaki mereka iaitu para sahabat Radhiallahu 'Anhum Ajma'in. Jejak-jejak mereka itu melalui ketakutan, kelaparan, kehilangan harta benda dan nyawa. Sebenarnya kita tidak melalui jejak mereka yang digelar manusia agung dan kita tidak pernah mengalami dari bantuan ghaib yang dialami mereka setelah diuji dengan sebesar-besar ujian. Kita tidak pernah pun melihat mukjizat Rasulullah. Kita tidak pernah pun menadah tangan berdoa pada ketika sangat darurat tetapi kita merasai bahawa kita terbaik dengan amalan-amalan kita.

Serasanya kita dapat menentukan seseorang itu berada di peringkat mana dalam tingkat kerohanian, dapat berhubung dengan alam-alam ghaib dan dengan itu kita dapat meletakkan kategori orang lain samada orang itu munafik, orang ini fasik, orang itu pula riak, ujub, orang ini zindik, murtad dan sebagainya. Kita meletakkan orang lain di lembah kejahatan sahaja manakala jemaah kita di puncak kebaikan.

Inilah yang dialami oleh penulis sendiri ketika menghadiri dan menjadi ahli beberapa jemaah Islamiah. Aku telah berada dalam kategori orang yang 'cakap tak serupa bikin', 'indah lidah berbicara, penuh kesumat di hati'. Tak habis-habis nak menyalahkan orang lain seperti mana Iblis menyalahkan Adam 'Alaihissalam. Tak habis-habis dengan perasaan tak puas hati terhadap orang lain. Bilalah nak habis sifat-sifat mazmumah nih? Sifat Iblis !

Aku telah banyak melalui jalan kaum yang sesat dari jalan Allah. Ketika itu ku sangka berada di atas jalan yang benar. Aku pernah belajar secara khusus di pondok-pondok pengajian sehingga mendapat tauliah mengajar agama Islam. Aku dihormati sebagai seorang ustaz. Lagi banyaklah 'tak puas hati' terhadap orang-orang jahil. Aku rasa aku dah pandai sangat. Sebenarnya aku hanya pandai-pandai1 meletakkan dan menyangka orang lain lebih rendah sehingga aku memandang rendah terhadap mereka.

Jalan itu menuju ke arah kekeliruan dan akhirnya buntu. Aku termenung di persimpangan mencari arah jalan kembali. Aku mulai sedar bahawa aku telah jauh tersesat. Bukanlah tersesat atas perbuatan durjana membuat maksiat yang zahir tetapi sesat dalam alam batinku kerana cintakan pujian orang.

Keikhlasan ialah jalan yang ku tuju sepatutnya walaupun jalan itu penuh ranjau dan halangan serta berbagai dugaan yang menjemput datang dicelah-celah persimpangan aku tak akan peduli lagi kepada terlepas pandang yang ku anggap jalan mudah itu lah jalan ke syurga tetapi sebenarnya tidak begitu bahawa jalan ke syurga itu penuh dengan ujian. Rupa-rupanya jalan yang telah ku lalui dahulu 'indah khabar dari rupa'. Rupanya jalan mudah itu menuju kepayahan dan bencana di penghujungnya.

Allah Taala telah berfirman “Jangan kamu sangka kamu beriman sedangkan kamu belum diuji”. Orang-orang munafik zaman Nabi di Madinah adalah orang yang mengambil jalan mudah untuk mencapai iman. Mereka berkata “Kami telah beriman”. Apabila menghadapi sebarang kesusahan mereka mengeluh kesah dan tidak tahan diuji. Ini kerana mereka berkata di mulut, lain di hati, cinta dunia, takut mati. Kebanyakan mereka kaya yang kedekut, takut hilang harta. Cinta mereka kepada kebendaan melebihi cinta Tuhan.

Siapalah kita dengan Nabi Muhammad Saw.? Baginda seorang maksum, suci dari dosa. Itu pun diuji seberat-beratnya. Adakah kita tidak mahu diuji semata-mata kerana Iman? Kita adalah hamba yang derhaka lagi berdosa. sekurang-kurangnya ujian itu dapat menghapuskan dosa-dosa kita.

Sahabat Nabi juga diuji keimanan selama 10 tahun tanpa perintah selain disuruh beriman. Tidak ada perintah sembahyang ka atas mereka, puasa, zakat atau haji. Itu mereka bersama Nabi Saw. Kita bersama siapa yang menunjuki kita jalan keimanan? Ringkasnya kita dapat iman dengan mudah. Ia mudah naik dan turun atau lebih teruk kalau mudah masuk dan mudah tercabut iman itu. Kita pun mengambil mudah perkara-perkara akidah. Bukankah Allah Taala telah menyatakan di dalam Al-Quran dengan perkataan susah dahulu dan bersama kesusahan itu kesenangan.

Kita sebenarnya telah mendahului Allah, Rasul dan para sahabat bahkan kita mengubah sunah Allah dan sunah Rasul. Akidah patut dahulu diberatkan dan ditekankan tetapi kita sibuk dalam beberapa hari Islam menekan dan memberatkan amal zahiriah. Kita adalah lebih handal dari para sahabat. Amal kita lebih hebat dan lebih banyak dari mereka. Sembahyang kita lebih khusyuk dan sempurna sehingga haji kita mabrur diterima kononnya. Dengan itu kita boleh merendah-rendahkan dan menghina si penderhaka.

Bukankah Nabi bersabda “Awal agama mengenal Allah”? Kemudian barulah berhakikat, bertarikat dan bersyari'at. Sementara sampai ke syari'at, iman kita diuji dahulu, barulah mudah menerima segala perintah Allah Taala dan suruhan serta ikutan Rasul Nya.

Bermula dengan berfikir dalam tafakkur percahaya lah iman itu dengan cahaya fikir sehingga mendapat hakikatnya setelah berjaya dari ujian. Kemudian barulah kita manis berzikir dalam tarikat dan bawalah ia ke alam sembahyang yang merasai kelazatan hasil buah yang putik dan yang masak. Terdapat di dalam buah solah itu benih-benih keikhlasan yang menyucikan batin dari 10 sifat Iblis tercela iaitu sombong, hasad, tamak, cinta dunia, riak, ujub, sum'ah, suka banyak cakap, suka makan gelojoh dan dendam.

Benih keikhlasan itu menghasilkan akhlak yang tertinggi dan terpuji, bukan buat-buat kerana pura-pura tetapi ia adalah kurnia Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Berkehendak. 50 aqa-idil iman itu melengkapi antara satu sama lain kerana 50-1=0 (sifir akidah). 'Biasalah satu sifat harus Allah Taala. Dia boleh buat apa sahaja sekehendak Nya'. Kalau jadi sifat harus Allah Taala itu kepada orang taat boleh diazab, kenapa pula orang yang taat itu merasai selamat? Mulalah datang sifat riak dan sombong, merasai dirinya sempurna dan hebat dengan ketaatannya. Ini disebabkan dia ambil ringan dengan sifat harus Allah Taala dalam iktiqadnya. Pegangannya tidak kuat. Dek kerana satu ini terungkai 49 ikatan.

Itulah sebab Islam kita di zaman ini pagi beriman, petang kafir, pagi masuk iman, petang tercabut iman, bukan turun naik lagi bahkan ada yang tercabut terus dan masuk agama lain.

Kalau kena sifat harus Allah Taala itu kepada penderhaka boleh diampunkan oleh Allah Taala, kenapa pula dia nak berputus asa dengan rahmat dan kehendak Nya dan kenapa pula dia patut dihina oleh orang yang taat? 'Sesungguhnya rahmat Nya diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki Nya dan ditegah kepada sesiapa yang dikehendaki Nya'.

Itulah yang dikatakan orang zaman moden ni 'pandai-pandai' belaka. Sudahlah pandai mencipta alat-alat sehingga mengenai agama pun mereka tu 'pandai-pandai' belaka. Mereka lebih bijak dari Nabi Muhammad, para sahabat, tabi'in dan orang-orang di kurun 7 hingga 15 Masihi. Tetapi sebenarnya kita tidak pandai mengawal hati dan minda dalam perhubungan sosial, ekonomi atau pun politik. Kita tidak dapat masuk personaliti orang lain untuk disatukan hati-hati manusia. Sebenarnya kita tidak pandai 'berkemanusiaan' tetapi kita hanya pandai terhadap kebendaan. Kalau tak ada manusia, apakah jadi benda-benda dunia ni? Manusia dulu kah atau benda-benda?


| Via Blogger Templates